WARNA
Warna memainkan peranan penting dalam hiasan.
Warna juga memainkan peranan sebagai pencetus rasa yang bersesuaian untuk bekerja.
Warna yang tidak sesuai dengan diri penghuni bilik membuatkan dia merasa tidak selesa dan tidak dapat bekerja dengan baik.
Warna kesukaan jika tidak sesuai untuk pejabat juga akan melumpuhkan.
Warna apa yang patut saya pilih? Ini persoalan yang bermain-main di minda sejak beberapa lama.
Akhirnya saya mencatatkan warna-warna kegemaran saya dan juga yang membuatkan saya merasa selesa. Sudah tentu warna dinding bilik menjadi tumpuan utama saya.
Saya tahu warna yang garang dan gelap tidak sesuai dengan jiwa saya. Yang terlalu terang dan menonjol membuatkan saya merasa tidak selesa. Saya perlu mengecat dinding dengan warna yang lembut.
Warna apa?
Pemilihan warna masih memeningkan kepala saya. Lalu saya telah membaca beberapa buku dan juga merayau-rayau di alam siber mencari petua untuk memilih warna yang sesuai untuk sebuah pejabat.
Sebelum menentukan warna pilihan, saya mendapati kita perlu menentukan apa tujuan kita membina pejabat di rumah. Adakah sebagai ruang untuk membaca dan menggunakan komputer sebagai aktiviti santai? Atau sebagai tempat berkumpul dan berbincang dengan keluarga? Atau, seperti saya, tempat untuk mencari rezeki?
Bilangan pengguna juga menentukan apa warna yang hendak digunakan. Jangan pula si ayah ingin warna biru (biru dikatakan warna maskulin dan disukai lelaki) si ibu warna hijau sesuai dengan sifatnya yang penuh kasih sayang, si dara ingin warna merah jambu, dan si ujang warna hitam. Aduhai, mungkin bilik pejabat akan menjadi ruang pameran cat pula!
Bagi saya sendiri, pilihan warna hanya perlu memenuhi citarasa saya. Namun saya masih tidak dapat membuat pilihan!
Saya suka warna biru lembut. Warna biru dikatakan berkaitan dengan tenaga air. Ia membuatkan jantung berdenyut perlahan, nafas tenang dan menurunkan tekanan darah. Selain itu, ia membantu kita menumpukan fikiran, merenung, menimbangkan dengan wajar dan bagus untuk kerja-kerja kreatif.
Jika banyak sangat menggunakan warna biru, kita akan menjadi, antaranya, angkuh, suka berkelahi dan hanya mahu menang sendiri.
Sifat warna biru yang menyebabkan diri menjadi tenang (malas) tidak sesuai pada pandangan saya untuk menjadi warna utama pejabat saya. Lagipun saya sudah menetapkan warna biru untuk dapur. Mahu tahu kenapa? Warna biru menyebabkan selera makan kita berkurangan. Jadi bagus untuk menjaga berat badan.
Warna merah samar atau merah jambu juga cantik. Saya ada juga terfikir hendak menggunakan warna ini. Namun saya tidak boleh berada lama dalam limpahan warna ini. Ia menimbulkan rasa tidak selesa.
Jadi warna apa yang harus saya pilih?
Hijau?
Ungu?
Aduh!
Pening!
Labels: Celoteh, Jibunsyi